Ads 468x60px

Friday, August 5, 2011

Pengajaran Dari Cinta

Photobucket
Bsmillahirrahmanirrahim… Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang. Aku dilahirkan di muka bumi ini hasil daripada kasih sayang Mama dan Ayah. Ya, semuanya bermula dari kasih sayang. Ayah dan Mama telah memberikan aku nama Farina (bukan nama sebenar). Nama itu penuh maknanya tersendiri. Mama cakap maksud nama aku pemaaf. Maknanya aku ni mesti pemaaf orangnya.

Semasa kecil aku tidak pernah tahu apa itu masalah. Aku meneruskan hidup aku sama seperti kanak-kanak lain. Sewaktu umur aku enam tahun, keluarga aku dikejutkan sesuatu berita iaitu aku ditimpa musibah. Aku disahkan menghidap penyakit jantung yang digelar Rheumatic Fever. Ya, sejak aku berumur enam tahun aku telah menghidap penyakit itu. Aku tidak tahu apa-apa. Kerana ketika itu aku masih kecil. Aku mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur di bawah pengawasan Institut Jantung Negara sehingga kini. Kira-kira sudah hampir 13 tahun aku menghidap penyakit ini.

Tapi kini, doktor memberitahu, aku sudah pulih tapi belum sepenuhnya. Aku mendapati aku tidak boleh terlalu kerap sangat berfikir. Terutama tentang masalah-masalah yang aku hadapi. Ini kerana situasi itu akan memberi kesan kepada kesihatan aku terutama pada jantung aku. Mama dan Ayah sering sibuk dengan kerja-kerja mereka di pejabat. Aku tidak pernah salahkan mereka kerana kekurangan kasih sayang dan perhatian.

Aku mempunyai tiga orang abang. Tapi rasanya seperti tidak pernah rasa kasih sayang seorang abang. Mungkin kerana mereka dulu tinggal di asrama penuh di Kelantan. Makanya aku tinggal bersama orang tuaku dan adik-adikku. Aku sangat rapat dengan makcikku. Dia memang seorang yang baik. Seorang yang prihatin terhadap kebajikan aku sekeluarga. Mungkin kerana dia tidak memiliki keluarga sendiri. Aku berazam untuk menjaganya sewaktu dia sudah tua nanti. Begitu juga Ayah dan Mama. Insya’Allah jika umurku masih panjang untuk terus bernafas dalam dunia ciptaan Allah ini.

Sampai suatu masa, aku terpaksa berpisah dengan makcikku. Kerana dia bekerja di luar Negara. Ketika itu Tuhan sahaja yang tahu bertapa beratnya perasaan ini untuk berpisah dengannya. Kerana hanya dia tempat aku bermanja selama ini. Dia telah menganggap aku seperti anaknya sendiri. Aku sedih dalam keterpaksaan. Dia telah pergi berhijrah ke Negara orang. Dan aku mula hidup sendirian tanpa perhatian dan kasih sayang. Saat itu aku mula tahu berdikari.

Pada tahun 2005 aku bakal menduduki PMR. Aku mengambil kelas tambahan di Pusat Tuisyen di sekitar Setiawangsa. Dari situ aku mula mengenali seorang lelaki yang telah menaruh hati pada aku. Ya, aku masih ingat namanya. Fairuz (bukan nama sebenar). Lelaki itu telah banyak mengajar aku tentang hidup. Hidup yang seharusnya perlu ada rasa jujur terhadap segala aspek. Hidup yang penuh drama. Dia lelaki yang telah banyak menipu aku. Lelaki yang tidak sepatutnya aku kenal. Tapi semua itu aku tidak pernah berdendam. Aku meleraikan hubungan kami setelah tiga bulan terjalin. Lagipun, ibunya sendiri tidak merestui hubungan kami.

Hidup ini ibarat roda. Kadang-kadang kita di atas. Kadanag-kadang kita di bawah. Aku telah berjumpa dengan seorang lelaki yang teramat baik. Aku rasa dia lah insan yang paling terbaik penah aku jumpa. Nak tahu kenapa? Sebab dia jujur, dia ikhlas, dia tulus dan amat bertanggungjawab. Macam mana aku tahu? Sebab dia kawan baik Fairuz, iaitu bekas kekasih aku. Dan aku pernah berkawan dengan dia. Namanya Ashraf (bukan nama sebenar). Seorang lelaki yang pernah mendiami hati aku. Lelaki yang mulia bagi aku. Lelaki yang tiada tandingan dengan lelaki-lelaki lain. Oh, sungguh aku bertuah kerana aku dan dia adalah pasangan kekasih setelah berpisah dengan Fairuz.

Kami menjalinkan hubungan sebagai pasangan yang paling romantik dan bahagia. Itulah yang kawan-kawan kami sering perkatakan. Kami ibarat isi dan kuku, ibarat kumbang dan bunganya. Yang tidak boleh berpisah dan berenggang. Empat tahun hubungan kami terjalin. Empat tahun mungkin angka yang sedikit. Tapi dalam empat tahun itu terdapat beribu-ribu kenangan yang tidak mampu luput dari ingatan. Mana mungkin kasih sayang setulus itu dapat dilupakan. Apatah lagi itulah kali pertama aku benar-benar rasa cinta selain kasih sayang Mama, Ayah dan nenek serta makcikku yang telah bertahun-tahun tinggalkan aku.

Kenapa ya hubungan itu hanya berhasil selama empat tahun sahaja? Ini semua gara-gara perasaan tidak bersyukur. Perasaan yang memberontak untuk bebas dari komitmen. Perasaan yang tidak boleh terkawal. Perasaan yang inginkan kasih sayang yang melimpah-ruah akibat tidak memilikinya sejak kecil. Dan perasaan itu sendiri datang dari aku sendiri. Aku terlalu bodoh dan terlalu ikutkan nafsu dan perasaan. Aku telah curang terhadap dia setelah empat tahun bersama. Mungkin aku bosan dengan hubungan kami yang ketika itu sering sahaja dingin. Lalu, aku mencari langkah untuk menghilangkan rasa dingin itu dengan menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. Ya, semestinya kalian mengatakan aku perempuan yang tidak kenang di untung. Perempuan yang entah macam-macam lagi. Yang buruk-buruklah kiranya. Tapi, aku akur memang itulah kesalahan paling besar pernah aku buat sepanjang hayat aku. Setiap manusia tidak pernah lari dari membuat silap. Meninggalkan Ashraf yang begitu setia, begitu sabar dengan setiap kerenah aku selama ini. Aku tahu, tidak ada lelaki lain yang mampu tahan dengan perangai dan kerenah aku. Hanya Ashraf, lelaki itu sahaja. Lelaki yang paling perfect! Beruntunglah kalian jika memilikinya. Dan aku akan cemburu terhadap insan yang berjaya mendampingi hidupnya.

Aku mulakan hidup aku bersama kekasih baru aku yang aku sendiri tidak pasti adakah hubungan ini akan kekal. Tapi aku akan berusaha. Kerana Ashraf telah berpesan kepada aku untuk hidup baik-baik setelah dia melepaskan aku dari lingkaran hidupnya. Sungguh pun aku telah curang terhadapnya, tapi dia tetap melayan aku dengan baik sekali. Aku terpaksa menamatkan hubungan kami kerana aku tidak sanggup sakiti hatinya lagi. Dia terlalu baik untuk aku. Biarlah dia bebas dengan hidup barunya. Untuk didampingi dengan orang yang layak menerima cinta sucinya itu. Aku berdoa agar dia bahagia bertemu cintanya. Dalam diam aku sering berdoa sekiranya peluang itu masih ada di hadapanku. Aku tahu itu sesuatu yang mustahil. Tapi, jika benar cinta itu ikhlas dan suci, berbekalkan restu daripada yang Maha mencintai. Aku yakin, peluang itu akan sentiasa berada di hadapan dan menanti aku untuk mengorakkan langkah aku.

Kini, aku menjalankan hidup aku seperti biasa. Walaupun kadang-kadang aku terpaksa telan dengan pahit memori-memori lalu. Aku akan berusaha untuk menjadi pasangan yang baik untuk kekasih baru aku, Hariz (bukan nama sebenar). Aku akan menerima setiap kekurangan dalam dirinya. Dan aku harap dia juga dapat menerima setiap kekurangan dalam diri aku. Untuk apa aku coretkan kisah ini? Kerana ianya sebagai pengajaran kepada kalian yang sedang bercinta. Dalam sebuah perhubungan perlulah ada rasa tanggungjawab, setia, jujur, amanah dan ikhlas. Sekiranya terdapat perselisihan, segeralah berbincang. Dan janganlah menyesal seperti mana telah aku alaminya. Peluang itu datang sekali, dan rebutlah ia. Nikmatinya dengan sungguh-sungguh. Setiap perbuatan baik, Tuhan akan balas dengan baik. Dan setiap perbuatan buruk itu Tuhan akan balas dengan balasan yang setimpal. Sungguh aku menyesal dengan tindakan dan perbuatan aku. Sejujurnya aku mengharap cintanya dan merindui bait-bait cinta antara kami. Untuk kalian, "Selamat menjalani hidup ini".

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...